Friday, 8 July 2011

bingkisan

CINTA ILAHI CINTA HAKIKI
"Janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik." REDAILAH PENGEMBARAAN INI, DEMI MENJEJAKI CINTAMU, ILAHI

Sejak kecil memang daku suka akan dingin yang meresapi kalbu tatkala hujan. Jendela kamar sengaja kubuka luas-luas agar titis-titis hujan tempias ke wajah. Sesekali, mandi hujan bersama-sama adik-adik merupakan saat-saat indah menggembirakan.
Ah! Musim kanak-kanak terlalu ceria. Musim remaja penuh suka, duka, luka, cinta, rindu - sukar dimengertikan.
Dan kini, di daerah kecil ini, saban waktu aku berdepan dengan anak-anak, dengan remaja ... bolehkah anda bayangkan betapa dinginnya hatiku ini? Dingin dalam luka barangkali atau dingin dalam kepanasan membara?

Apapun, dinginnya hujan kali ini amat mendamaikan. Syukur Tuhan!
Entah berapa lama lagi dapat aku nikmati segala keindahan ini, wahai Tuhan!
Bersyukur aku akan nikmat-Mu!






S : Suara-suara itu sukar ditafsir ronta gelodak rasa
E : Entah lahar dendam atau puing amarah bernanah
K : Kristal jiwa pecah
O : Onak ngeri bersipongang menari
L : Lantas menikam waras nubari
A : Atma hanyir luka
H : Hati parah derita


Ya Ilahi, berikanlah daku

kekuatan, ketabahan dan ketenangan
menghadapi riuh rendah suara-suara
kerana aura dan atma mereka
meredah jutaan ranjau perjalanan
demi memesrai cinta Yang Esa




"Dialah yang telah menciptakan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati, tetapi amat sedikit kamu bersyukur." (Surah al-Mukminun: 78)

"Janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik."
(2: 195)

"Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah beserta orang yang sabar." (2: 153)

Buku mengasuh diri sasa bersuara
membaca menjadi jambatan bertuah
kita merindui buku dan ghairah baca
agar sentiasa canggih dan berhemah











Barangkali tiada perlu
kita renangi gelombang rindu
kerana arus kesetiaan kian ganas
diserang badai cemburu
deras berpusar di samudera nafsu



Barangkali tiada perlu
kita lakar lukisan gemilang
kerana indah panorama ketulusan
menghias seri kanvas perpaduan
dicalit tinta bianglala noda

Barangkali tiada perlu
kita agungkan istana kasih
kerana bahang neraka buana
membakar galak kamar keikhlasan
meranap musnah dinding keimanan

Barangkali perlu kita
menapak insaf ke laman takwa
menziarah khilaf di pusara doa

Barangkali
saat pawana mencumbu senja
dedaun cinta marak menyala
luruh hangus
di ambang syurga

No comments:

Post a Comment